fbpx

Pelajar dan rakan disamun ‘polis palsu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG – Seorang pelajar wanita dan rakan lelaki berdepan detik mencemaskan apabila dimarahi dan disamun dua lelaki yang menyamar sebagai ‘polis’ di sebuah rumah di kawasan Jalan Pandan Indah, Pandan Indah, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berumur 23 tahun itu dikatakan bersama seorang rakan lelaki warga tempatan berumur 27 tahun, sedang berehat di dalam bilik di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mereka telah didatangi dua lelaki yang tidak dikenali berpakaian preman dan telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis tanpa apa-apa pengenalan diri.

“Mereka berasa takut apabila suspek memarahi dan menengkingnya, bahkan suspek juga menyatakan mangsa mempunyai rekod dikehendaki dan perlu dibawa ke balai polis .

“Pada masa sama, suspek bertindak mengambil dompet berisi dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit milik kedua-duanya dan turut mengugut mahu memanggil polis peronda sebelum bertindak melarikan diri,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa dan rakannya mengalami kerugian kira-kira RM3,020.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah membuat serbuan semalam dan berjaya memberkas suspek yang berumur 54 tahun serta merampas dua telefon bimbit dipercayai milik mangsa lelaki.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek yang tidak bekerja itu juga memiliki empat rekod jenayah berkaitan kes pemerasan, mendatangkan kecederaan dan satu rekod narkotik,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) iaitu rompakan berkumpulan, Seksyen 170 KK iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI