NASKHAH Jirisan menjadi judul aksi, misteri dan thriller yang paling dinanti-nantikan peminat drama Korea atau K-drama akhirnya ditayangkan bermula 23 Oktober lalu menerusi saluran tvN dan aplikasi iQIYI.
Pada hari pertama siaran, Jirisan yang menelan belanja sebanyak 32 bilion won bersamaan lebih RM113 juta memecahkan rekod rating tontonan tertinggi untuk drama tvN bagi tayangan perdana hari Sabtu dan Ahad.
Jirisan mengisahkan tentang seorang renjer Taman Negara Gunung Jiri bernama Seo Yi-kang lakonan Jun Ji-hyun. Dia bekerja dengan rakan setugasnya, seorang renjer baharu, Kang Hyun-jo (Joo Ji-hoon) yang sebenarnya menyimpan rahsia besar dalam hidup.
Drama yang ditulis oleh Kim Eun-hee iaitu penulis naskhah hebat seperti Kingdom dan Signal tersebut berkisar tentang kejadian-kejadian misteri yang berlaku di pergunungan berkenaan.
Satu fakta menarik, Eun-hee tidak pernah pergi ke Gunung Jiri sebelum dia menulis untuk drama Jirisan.
“Saya rasa, Gunung Jiri merupakan sebuah tempat penuh emosi di mana manusia mencari impian atau melepaskan kerinduan. Tanah di situ dilapisi keinginan dan kesedihan manusia.
“Jadi saya fikir, mungkin banyak perkara misteri, menakjubkan atau yang sukar dijelaskan berlaku di situ.
“Mungkin ada yang mendaki sebab mahu bunuh diri atau ada yang melakukannya kerana harapan. Bahkan mungkin ada antara pendaki yang mendaki kerana mencari jawapan dalam hidup.
“Saya mahu bercerita tentang ramai orang yang datang dari latar belakang berbeza yang hidup dalam pelbagai kisah hidup.
“Kalau berlaku insiden di atas gunung, renjer akan datang memberi bantuan. Renjer menjadi orang paling arif tentang gunung dan kerja mereka ialah menyelamatkan manusia,” ujarnya Eun-hee ketika sidang akhbar global drama berkenaan secara virtual baru-baru ini.
Skrip lengkap
Ji-hyun yang sebelum ini pernah bekerja dengan Eun-hee dalam prekuel siri fenomena Kingdom, Kingdom: Ashin Of The North menyifatkan wanita itu sangat teliti dalam menjalankan kerjanya sebagai penulis skrip.
“Sesebuah babak mungkin kelihatan biasa tapi sebenarnya itulah kunci kepada keseluruhan jalan cerita,” ujarnya yang cukup teruja dapat kembali menjalin kerjasama bersama Eun-hee.
Sementara Ji-hoon yang merupakan tonggak utama dalam siri Kingdom pula berkata, pengalaman selama lima tahun bekerja dengan Eun-hee disifatkannya sebagai satu penyatuan ‘lengkap’ kerana penulis skrip itu ada kebolehan tersendiri.
“Sudah lima tahun saya bekerja dengan dia. Sampaikan saya rasa, dia seperti mak cik yang saya akan jumpa ketika bercuti (ketawa).
“Skrip yang ditulis Eun-hee sangat terperinci dan tak boleh membacanya sambil lewa. Dia ada kebolehan menulis babak sukar tapi digambarkan dengan cara yang mudah.
Dia selalu mengajar saya sesuatu yang baharu,” ujarnya.
Serasi bersama
Ji-hyun dan Ji-hoon, dua nama besar dalam industri lakonan Korea Selatan. Maka tidak hairanlah andai kemunculan mereka dalam Jirisan sangat dinanti-nantikan peminat.
Kedua-dua pelakon hebat itu sebelum ini pernah bertemu semasa projek musim kedua Kingdom, sekali gus membuatkan cetusan kimia antara mereka mudah terbina dalam Jirisan.
“Saya memang peminat Ji-hyun sejak dahulu. Ketika bertemu buat pertama kali, saya terpesona.
“Biarpun dia seorang pelakon popular, namun Ji-hyun melayan saya dengan baik. Itu belum lagi kalau saya menyentuh tentang mutu lakonan. Dia pasti memberikan yang terbaik walaupun berdepan kesukaran ketika di set penggambaran,” ujar Ji-hoon, 39.
Biarpun terlibat dalam naskhah aksi harus berdepan lokasi berbahaya seperti pergunungan, ironinya wanita itu lebih gemarkan pendakian trek yang mudah.
“Saya sangat sukakan gunung. Tapi tak seperti orang lain, saya sebenarnya mendaki untuk menikmati alam semula jadi dengan melalui trek yang mudah.
“Saya datang ke Gunung Jiri buat pertama kali demi drama ini. Di situ saya berasa sangat kerdil berada melihat keluasan alam yang terbentang. Tapi mujurlah proses penggambaran tidak sesusah mana, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Watak
Buat pertama kali dalam sejarah profil lakonannya, Ji-hoon mengakui drama Jirisan menampilkan sisi berbeza dirinya berbanding semua naskhah yang pernah dibintangi sebelum ini.
Bukan itu sahaja, karier sebagai renjer gunung juga perkara baharu yang ditonjolkan pelakon itu dalam lakonannya.
“Karakter saya memang sangat jauh berbeza, apatah lagi karier sebagai renjer.
“Ditambah pula dengan latar belakang cerita tentang Gunung Jiri, jadi banyak topik menarik yang dikupas. Keseluruhannya termasuk watak dan jalan cerita dalam naskhah ini memaparkan sisi berbeza,” katanya.
Bagi semua pelakon Jirisan, mereka mengakui melalui cabaran yang agak besar kerana menjalani penggambaran di Taman Negara Jirisan apatah lagi membabitkan banyak aktiviti mendaki.
Bagaimanapun, aktres yang turut dikenali sebagai Gianna Jun itu berkata, penggambaran Jirisan yang tamat pada Jun lalu banyak meningkatkan kekuatan staminanya.
“Saya sangat gembira sepanjang menjalani penggambaran. Tak ada rasa penat,” ujarnya yang sememangnya seorang yang aktif bersukan.
Gunung Jiri merupakan gunung kedua tertinggi di Korea Selatan terletak di Taman Negara Jirisan iaitu taman negara paling besar di negara tersebut.
Naskhah 16 episod Jirisan yang menjalani penggambaran di Gunung Jiri memaparkan keindahan dan pertukaran empat musim iaitu panas, bunga, luruh dan sejuk.