PONTIAN – Pengalaman menjaga arwah suaminya yang pernah menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan buah pinggang mendorong seorang ibu tunggal untuk menjadi sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Fatimah Adnan, 57, berkata, dia mula melakukan kerja-kerja sukarelawan sejak tahun 2011 ketika bertugas di sebuah agensi kerajaan sebelum usaha itu diteruskan selepas bersara dua tahun lalu.
Menurut Fatimah, arwah suaminya, Khalid Tukiman yang juga bekas kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) Pontian meninggal dunia pada tahun 2015 setelah bertarung dengan penyakit yang dihidapi selama 10 tahun.
“Pada akhir hayatnya, arwah suami saya diserang sakit angin ahmar (strok) selama 10 hari dan terus meninggal dunia pada usia 54 tahun ketika menjalankan tugasnya.
“Pengalaman menjaga arwah suami mendorong saya untuk menyumbang bakti sebagai sukarelawan.
“Ketika ini, saya mempunyai empat orang pesakit, dua orang kurang upaya (OKU) dan dua warga emas yang akan dikunjungi seminggu sekali atau tiga minggu sekali bergantung kepada keperluan,” ujarnya katanya ketika ditemui di Taman Saujana disini baru-baru ini.
Tambahnya, dua orang OKU tersebut ialah Zanariah Omar, 53, seorang ibu tunggal yang kaki kanannya terpaksa dipotong kerana menghidap penyakit kronik dan tinggal di Kampung Baharu, Telok Kerang.
Ujarnya, seorang lagi OKU iaitu Effariha Zainal Abidin, 31, yang menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) melibatkan urat saraf menyebabkan wanita itu hanya terlantar di atas katil selama 10 tahun seperti kanak-kanak.
“Dua lagi adalah warga usia emas, Tuminah Annuar, 71, dan Paridah Mian, 69, juga memerlukan khidmat bantuan termasuk tinggal keseorangan di rumah tanpa ada waris,” jelas.
Katanya, setiap pesakit yang dikunjungi telah dianggap sebagai ibu, kakak dan anak sendiri serta sedia mendengar keluhan mereka termasuk membantu dari segi wang ringgit dan sebagainya.