SHAH ALAM – Tiga pengamal undang-undang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan rasuah RM17,500 berhubung hukuman kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tahun lalu.
Mereka adalah bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas, 47 ; Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad, 34 dan Peguam Noor Amirul Nazreen, 33.
Hakim Rihaida Rafie memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Rihaida dalam penghakimannya berkata, siasatan dilakukan pegawai penyiasat adalah lemah, tidak menyeluruh serta gagal mengambil tindakan seterusnya mengakibatkan kelompongan dalam siasatan kes pihak pendakwaan.
Tambah Rihaida, hanya satu elemen pendakwaan berjaya dibuktikan iaitu Azmil Muntapha dan Khairul Azhwa sebagai penjawat awam.
“Bagi elemen kedua pula tiada persetujuan bagi ketiga-tiga tertuduh menerima suapan tersebut kerana hanya menjurus kepada tertuduh pertama sahaja (Noor Amirul).
“Selain itu, tiada sebarang perbincangan atau komunikasi bagi semua tertuduh dan keterangan saksi menyatakan wang tersebut adalah dipersetujui untuk diterimakan sebagai satu suapan sebagai upah untuk tertuduh ketiga (Azmil Muntapha) dalam menjatuhkan hukuman denda terhadap PATI,” jelasnya.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong, 40, sebagai upah kepada Azmil untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas PATI yang melakukan kesalahan di bawah perenggan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya.
Azmil Muntapa kini bertugas sebagai pegawai undang-undang di Istana Kehakiman di Putrajaya.
Dia sebelum ini adalah majistret bagi prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, di dalam tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.
Manakala, Khairul Azhwa sebelum ini adalah Timbalan Pendakwa Raya di Mahkamah Kuala Kubu Bharu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SRPM Allan Suman Pillai dan Maziah Mohaidi manakala Azmil Muntapha diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Hamdan Hamzah.
Khairul Azhwa dan Noor Amirul mewakili diri mereka sendiri.
Sepanjang prosiding bermula 6 November 2019 itu telah mengemukakan 28 saksi pendakwaan dan 89 eksibit (bahan bukti). -K!ONLINE