fbpx

Hafizh sedia ‘terjun’ bidang kejurulatihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZH terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan MotoGP musim depan dan mungkin berubah angin kepada bidang kejurulatihan.

PELUMBA berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak menolak sebarang kemungkinan untuk menukar karier dengan ‘terjun’ dalam bidang kejurulatihan bagi membantu negara melahirkan lebih ramai pelumba muda berbakat ke pentas dunia.

Hafizh mengesahkan bahawa dia tidak meneruskan perlumbaan Moto2 bersama pasukan NTS RW Racing GP pada musim depan dan tempatnya itu digantikan dengan pelumba CEV, Jurgen van den Goorbergh.

Keputusan itu menyebabkan Hafizh masih belum memutuskan ke mana hala tujunya musim depan meskipun dikaitkan beralih arah menyertai Kejohanan Superbike Dunia (WSBK).

“Jika diberi peluang dan kelengkapan yang cukup, saya rasa tiada masalah untuk membantu pelumba-pelumba muda merealisasikan impian ke pentas antarabangsa. Saya boleh bantu dengan pengalaman sepanjang beraksi pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

“Saya rasa sedih kerana pelumba Malaysia pada saingan MotoGP semakin kurang, mungkin ada sebab-sebab tertentu. Secara terus terang saya cakap, mungkin ada sebab politik menyebabkan kita berdepan situasi seperti ini.

“Kalau ada peluang itu, saya mahu bantu pelumba-pelumba muda ini mengharumkan nama Malaysia ke persada antarabangsa. Saya sudah melalui perjalanan panjang di pentas ini dan kalau boleh saya mahu mereka ke sana dengan motivasi tinggi,” kata Hafizh.

Dalam pada itu, Hafizh me­ngakui dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan mereka itu mempunyai minat dalam sukan permotoran.

Jika benar Hafizh turun ke bidang kejurulatihan, pelumba berusia 27 tahun itu akan mengikut jejak seperti Zulfahmi Khai­ruddin yang kini menjadi pengurus pasukan ZK Racing dalam membantu pelumba muda ke MotoGP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI