SEREMBAN – Dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun di tiga lokasi di daerah ini dicekup dalam tempoh 24 jam selepas melakukan jenayah itu baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang ditahan pada pukul 7.55 pagi, 25 Oktober lalu di tepi Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah menghala ke Shah Alam.
“Selepas itu, kita memberkas seorang lelaki berusia 30 tahun pada pukul 3 petang hari sama di sebuah rumah pangsa Taman Desa Ria, Sungai Way, Petaling Jaya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.
Menurut Mohd. Said, suspek disyaki menyamun dua buah stesen minyak di Rahang dan sebuah kedai serbaneka di Jalan Campbell dari pukul 7 malam hingga pukul 9 malam, 24 Oktober lalu melibatkan kerugian berjumlah RM1,500.
Ketiga-tiga suspek menggunakan rotan dan tukul besi sebagai senjata.
Selain tangkapan, polis menemui semula mesin wang yang disamun dan kereta jenis Proton Wira yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Kedua-dua suspek mempunyai lapan dan empat rekod jenayah lampau itu kini direman sehingga 31 Oktober ini.
Polis kini mengesan seorang lelaki dikenali sebagai K. Thiyago, 33, beralamat di Kampung Chery, Sungai Way, Petaling Jaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saidi Busman di talian 011-31558034,” katanya