SHAH ALAM – Tindakan dua pemilik premis alat ganti dan komponen motosikal menjualnya tanpa cap dagang sah membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa dalam serbuan berasingan baru-baru ini.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun itu ditangkap menerusi serbuan di Klang serta Puchong pada Isnin dan Selasa.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Muhammad Zikril Azan berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima aduan dan pengesahan awal daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar yang sama berhubung dengan perlakuan kedua-dua premis yang diadu dan disyaki terlibat dengan penyalahgunaan cap dagang tanpa kebenaran pemilik sah.
Katanya, hasil pengesahan dan pengecaman ke atas barang dijumpai di dua premis itu mendapati telah menggunakan nama jenama atau cap dagang pemilik tanpa kebenaran.
“Susulan sejumlah 1,523 unit barangan yang terdiri daripada pelbagai jenis komponen alat ganti motorsikal dan aksesori di kedua-dua premis itu serta beberapa dokumen urus niaga telah disita untuk siasatan lanjut.
“Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua premis yang diserbu tersebut adalah RM46,728,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kedua-dua suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis selepas merakamkan keterangan mereka.
Tambah Muhammad Zikril , dua kertas siasatan telah dibuka dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
“Manakala bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan cap dagangan berdaftar,” tegasnya. -K!ONLINE