MACHANG – Seorang buruh maut manakala tiga yang lain cedera dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Kampung Kemuning di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 8 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Amirul Saupi, 26, yang memandu kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan tengkuk.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan mendapati, kemalangan berlaku semasa sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke arah Kuala Krai.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya, namun hilang kawalan.
“Insiden itu menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dipandu mangsa dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki tiga beranak.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu cedera pada bahagian kaki kiri manakala pemandu Perodua Alza yang berusia 29 tahun dan anak lelaki berusia empat tahun cedera ringan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Ganti, bagaimanapun, isteri kepada pemandu MPV itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan jenazah Muhammad Amirul dibawa ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Tambahnya, tiga mangsa yang cedera turut dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama dan kes disiasat mengikut Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE