RIMINI – Prestasi memukau yang dipamerkan pelumba Itali, Enea Bastianini ketika berjaya menaiki podium tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Emilia Romagna Ahad lalu belum cukup mengubah keputusan Ducati untuk memberikannya jentera utama pada musim depan.
Bastianini yang beraksi bersama pasukan Avintia Esponsorama mempamerkan tunggangan terbaik di Litar Misano apabila menaiki podium dengan memintas Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) pada perlumbaan tersebut.
Keputusan itu memastikan juara Moto2 tahun lalu itu mengulangi pencapaian terbaiknya di Litar Misano ketika menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada GP San Marino bulan lalu.
Tambahan 16 mata memastikan Bastianini kini di kedudukan ke-16 keseluruhan, sekali gus menjadi pelumba rookie terbaik ketika ini.
“Melihat pada sesi kelayakan, saya fikir agak mustahil untuk berada di podium. Saya benar-benar tidak menjangkakan dapat menamatkan saingan di tempat ketiga.
“Ketika Bagnaia terjatuh, saya tahu kedudukan saya dengan Quartararo tidak terlalu jauh. Saya melakukan sebaik mungkin untuk cuba memberi tentangan podium dan akhirnya terlaksana,” katanya.
Melihat prestasi memukau Bastianini, ramai pihak berharap pelumba berusia 23 tahun itu diberikan jentera Desmosedici GP22 bagi musim depan.
Bagaimanapun, Bastianini dan Fabio Di Giannantonio belum rasmi akan menyertai pasukan Gresini Racing musim depan yang mendapat bantuan penuh daripada Ducati.
“Apa yang saya difahamkan, saya akan menggunakan jentera Ducati versi 2021 pada tahun depan, dengan kehadiran komponen terbaik. Ketika di Misano, saya sudah berbicara dengan Gigi Dall’Igna (Pengurus Besar Ducati Corse). Mereka menegaskan, mustahil bagi saya untuk memiliki GP22 pada tahun depan.
“Jadi, saya harus bekerja keras untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam baki perlumbaan musim ini dan mencuba beberapa komponen baharu yang akan digunakan pada musim depan,” tambahnya. – AGENSI