KETIKA ini kita seakan sudah merdeka daripada belenggu sekatan pergerakan dan perjalanan. Semua orang kelihatannya begitu ceria dan gembira dapat melakukan pelbagai aktiviti yang biasa dibuat sebelum ini.
Begitulah kita dapat merasaikan nikmat kebebasan selepas terkurung hampir sembilan bulan akibat gelombang ketiga wabak Covid-19 yang kembali memuncak dan mengganas bermula akhir Mac lalu.
Ketika itu, kita hanya mampu berdoa agar kes-kes jangkitan harian serta kematian kembali turun selain pelbagai pihak bertungkus-lumus melaksanakan program vaksinasi di segenap pelusuk negara.
Alhamdulillah hasil sokongan semua, kita telah memperoleh sedikit kejayaan apabila sektor ekonomi yang terjejas teruk kini dibuka semula secara berperingkat.
Begitu juga aktiviti pelancongan yang paling terkesan kembali bersinar apabila pusat-pusat tumpuan pelancong dibuka semula, malah mendapat sambutan luar biasa.
Mungkin akibat terlalu lama tidak merasai sejuk dan dinginnya air terjun, indah dan menawannya pasir di pantai ditambah suasana matahari tenggelam di ufuk barat, kawasan-kawasan berkenaan jelas menjadi tumpuan utama orang ramai.
Tidak kurang yang memenuhi pasar raya sehinggakan pada hujung minggu hampir tidak ada kekosongan tempat letak kereta. Mungkin lama wang yang ada tersimpan dan tidak boleh dibelanjakan selepas premis perniagaan bukan barangan keperluan diarahkan tutup.
Namun, dalam kita berseronok dengan kebebasan yang diberikan. Bersukaria di tepian air terjun, menghirup udara segar di pesisir pantai dan menikmati juadah yang enak-enak di restoran popular, jangan kita lupa nasib segelintir masyarakat kita yang tidak bernasib baik.
Ramai antara kita yang sebelum ini kehilangan orang-orang tersayang akibat jangkitan Covid-19, ada anak-anak hilang tempat bergantung untuk meneruskan kehidupan dan ramai juga yang hilang pekerjaan sekali gus tiada punca pendapatan untuk menampung makan seharian.
Begitu juga jangan kita lupa nasib mereka yang terpaksa mengangkat bendera putih di kawasan-kawasan kejiranan akibat terputus bekalan makanan.
Bagaimana ya, nasib mereka hari ini? Apakah sudah terbela. Apakah mereka sudah mampu mencari dan membeli keperluan makan minum sendiri?
Persoalan ini sukar dijawab melainkan kita bertemu dan mengambil cakna jiran-jiran serta peka dengan keadaan sekeliling.
Penulis bimbang bantuan yang disalurkan sebelum ini cuma bersifat jangka pendek dengan bekalan makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, gula dan susu yang mungkin cukup untuk seminggu atau dua minggu.
Sewajarnya, pihak-pihak berkaitan mempunyai data lengkap golongan bendera putih ini untuk dilaksanakan pula bantuan jangka sederhana dan jangka panjang agar mereka ini mampu bangkit semula selepas berdepan kesukaran kehidupan akibat pandemik.
Semoga ada juga khabar gembira pembentangan Bajet 2022 esok bagi menangani jurang kemiskinan dan kedaifan yang pasti semakin melebar akibat kemelut Covid-19.
Seperti adat pulau limburan pasang, setiap kegembiraan yang kita nikmati kongsilah sedikit dengan mereka yang berduka.