BERA – Kira-kira 8,000 klinik swasta dan pakar yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambilalih program vaksinasi selepas Pusat Pengambilan Vaksinasi ditutup.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, klinik swasta dan pakar bukan sahaja berfungsi pada hari-hari biasa tetapi juga ketika musim tengkujuh yang dijangka melanda pantai timur pertengahan bulan depan.
“Sebelum ini kita sudah ada lebih 2,000 klinik swasta berdaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), dan sekarang kita ada 8,000 lebih yang akan meneruskan program (vaksinasi) ini.
“Ini bermakna program suntikan vaksin tidak akan terjejas sepanjang musim tengkujuh dan kita juga yakin dapat melengkapkan proses suntikan vaksin untuk remaja pada 21 November ini,”katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Triang Dua di sini, hari ini.
Menurut Noor Azmi, pada masa ini sudah banyak PPV termasuk PPV mega ditutup dan proses vaksinasi akan diserahkan kepada klinik swasta dan pakar. -K! ONLINE