JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan bersama dua buah kenderaan lain di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Jaya, di sini malam semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Sufian Md. Lis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.34 malam.
“Setibanya di lokasi, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dengan dua buah kereta iaitu Proton Persona dan Toyota Camry.
“Toyota Camry dinaiki dua individu manakala Proton Persona dinaiki enam orang dan kesemua mereka selamat dalam kemalangan tersebut.
“Sementara itu, seorang wanita berusia antara 30-an yang menunggang motosikal berkenaan dilaporkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Siasatan awal mendapati, wanita tersebut meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang kereta Toyota Camry. -K! ONLINE