PENYAKIT yang menyerang paru-paru atau pneumonia terhadap kambing dan biri-biri antara masalah menghantui penternak haiwan berkenaan selama ini.
Bagi mengatasi masalah itu, penyelidik Universiti Putra Malaysia diketuai Prof. Dr. Mohd. Zamri Saad daripada Fakulti Perubatan Veterinar berjaya mengkomersialkan inovasi vaksin STVac7 semburan intranasal pertama bagi mencegah penyakit paru-paru atau pneumonia yang menyerang haiwan ternakan tersebut.
Menurutnya, vaksin yang dibangunkan itu mampu memberikan lebih 90 peratus perlindungan terhadap penyakit pneumonia yang disebabkan virus Pasteurella haemolytica.
“Virus itu adalah bakteria yang menyebabkan mannheimiosis atau jangkitan radang paru-paru kambing dan biri-biri.
“Ia merupakan penyakit biasa menyerang 60 peratus populasi kambing dan bebiri di dunia, mengakibatkan kerugian besar kepada industri ruminan kecil.
“Vaksin sedia ada bagi mencegah penyakit itu merupakan vaksin import dan diberi secara suntikan intraotot kepada haiwan berkenaan. Ia bukan sahaja kurang sesuai, tetapi mahal,” katanya.
Tambahnya, vaksin STVac7 dicipta menggunakan bakteria terpencil tempatan yang mampu memberi perlindungan daripada jangkitan bakteria ‘Mannheimia haemolytica’ A2, A7 dan A9 .
Selain itu, katanya, ia terbukti memberi perlindungan lebih berkesan untuk menangani penyakit tersebut.
Memandangkan sistem pernafasan merupakan kaedah utama jangkitan berlaku, konsep vaksin itu adalah untuk memperkukuhkan tahap ketahanan sistem badan pada sistem berkenaan.
Pemberian vaksin tersebut secara semburan pada hidung memberi perlindungan kepada sistem pernafasan kambing dan biri-biri secara setempat dan sistemik.
Dengan ini, ia dapat meningkatkan kadar keberkesanan proses vaksinasi dan turut memendekkan 80 peratus masa pemvaksinan.
Dalam pada itu, inovasi tersebut telah dikomersialkan dengan nilai jualan paten sebanyak RM4 juta kepadasyarikat BIO-Angle VACS Sdn. Bhd.(BAV).
Penjualan paten Mannhemia Haemolytica Bacterial Polypeptides and Sequences, Gene Sequences and Uses Thereof (MY-176715-A) telah dimeterai melalui perjanjian tiga hala melibatkan UPM, UPM Innovation Sdn. Bhd. dan BAV.
Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd. Zabri Yusoff baru-baru ini.
Turut hadir bagi menyempurnakan sesi penjualan paten itu termasuk Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Pengerusi BIO-Angle VACS Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Innovations Sdn. Bhd., Azrul Reza Aziz.
Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Roslan berkata, pemeteraian Perjanjian Penjualan Paten kepada pihak BAV merupakan nilai penjualan pengkomersialan tertinggi yang dicapai oleh UPM setakat ini.
“Kejayaannya adalah hasil usaha sama antara Putra Science Park UPM dan UPM Innovations yang juga merupakan anak syarikat UPM Holdings.
“Pada masa sama, BAV kini dalam proses membina fasiliti bernilai RM8 juta untuk pengeluaran STVac7 serta fasiliti bakteria vaksin bertaraf amalan perkilangan terbaik (GMP) ini.
“Ia adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan mampu membuat pengeluaran sehingga 300,000 botol dalam masa setahun,” katanya.
Tambahnya lagi, fasiliti itu kini 80 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku terakhir 2022 setelah mendapat pensijilan dan akreditasi GMP daripada badan kawal selia tempatan.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Mohd. Daud berkata, BAV menyasarkan sebanyak 20 juta kambing dan bebiri iaitu bersamaan satu peratus daripada jumlah keseluruhan populasi kambing dan bebiri di seluruh dunia menggunakan vaksin tersebut.
Melalui unjuran ini, BAV berpotensi untuk menjana pendapatan sebanyak AS$80 juta (RM331 juta) setahun.
“Hasil daripada kerjasama erat ini, BAV telah menandatangani perjanjian jual beli dengan dua syarikat luar negara untuk memasarkan 100,000 botol STVac7 ke China dan Nigeria.
“Pasaran lain yang berpotensi seperti India, Pakistan, Bangladesh, Mongolia, Senegal, Indonesia dan negara Amerika Selatan kini dalam proses penilaian serta perbincangan.
“Ia bakal dimeterai dalam tempoh terdekat,” katanya.