LONDON – Bintang tenis Poland, Iga Swiatek dan jaguh tenis Sepanyol, Paula Badosa mengesahkan slot pada Kejohanan Tenis WTA Final di Guadalajara, Mexico pada November depan.
Swiatek yang menjuarai Terbuka Perancis musim lalu mempamerkan aksi terbaiknya apabila sekurang-kurangnya mara ke pusingan keempat bagi setiap empat kejohanan utama pada musim 2021 sambil turut memenangi dua gelaran WTA musim ini.
Pemain berusia 20 tahun itu akan menjadi pemain wanita Poland pertama beraksi di WTA Final sejak Agnieszka Radwanska melakukannya pada 2016.
Sementara itu, Badosa, 23, yang menjuarai kejuaraan di Belgrade dan Indian Wells selain turut mara ke suku akhir Roland Garros kini menduduki ranking ke-13 dunia. Kejayaan itu membolehkannya untuk beraksi di WTA Final nanti.
WTA Final hanya melibatkan penyertaan lapan pemain perseorangan dan lapan beregu terbaik dunia dan sepatutnya berlangsung di Shenzhen, China, namun terpaksa dibatalkan akibat pendemik Covid-19 sebelum beralih ke Mexico.
Aryna Sabalenka, Barbora Krejcikova, Karolina Pliskova dan Maria Sakkari terlebih dahulu layak ke WTA Final, namun pemain No. 1 Australia, Ash Barty menarik diri menyaksikan berlakunya kekosongan.
Barty yang memenangi WTA Final 2019 di Shenzhen membuat keputusan mengejut apabila tidak beraksi ke Mexico kerana isu kuarantin sebaik sahaja tiba ke negaranya dan kini fokus membuat persiapan menjelang Terbuka Australia pada Januari 2022. – AGENSI