fbpx

Sumpah! Aina tak percaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA ABDUL

SEBUT sahaja nama Aina Abdul, pasti semua tahu akan kekuatan dan keunikan vokal miliknya yang tiada pada orang lain.

Tak perlu diperkenalkan lagi siapa identiti penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti, Mentor Legend beberapa tahun lalu itu.

Berilah apa sahaja genre lagu waima berbahasa Melayu mahupun Inggeris, pasti akan dibawanya dengan penuh penghayatan dan menusuk kalbu.

Mengorak langkah dan melakar fenomena menerusi lagu ‘berhantu’ Sumpah tiga tahun lalu, nama Aina Abdul kini kian meniti di bibir peminat muzik.

Pun begitu, populariti yang melambung dirinya ketika itu tetap ada terselit cerita tidak enak.

PENYANYI berusia 28 tahun ini enggan menoleh ke belakang dan berjanji akan terus mengukuhkan jenamanya sebagai anak seni pada masa hadapan. – Foto FAUZI BAHARUDDIN

Semuanya gara-gara, lagu yang merupakan ciptaan sepenuhnya Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani tersebut tidak semena-mena menjadi subjek kontroversi apabila didakwa memberi gambaran negatif terhadap pesakit dan penderita skizofrenia.

Tidak setakat itu, naskhah berkenaan sekali lagi menjadi perbualan dan menimbulkan kekecohan apabila persembahan Aina menerima kritikan dek lagu yang dibawanya ketika bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) tahun lalu dikatakan mengangkat tema bunuh diri.

Pun begitu, apa pun dugaan yang mendatang dan menimpa sedikit pun tidak pernah mematahkan semangat Aina untuk terus mengukuhkan dirinya dalam industri.

AINA menganggap peluang keemasan untuk menyanyi di pentas berprestij Istana Budaya pada 6 November depan ibarat mimpi baginya sejak bergelar penyanyi beberapa tahun lalu.

Penghormatan

Meneruskan perbualan, penyanyi yang turut popular menerusi lagu Semalam itu memberitahu, impiannya untuk bergelar penyanyi sebenarnya sudah lama iaitu sejak di bangku sekolah lagi.

Perlahan-lahan dia mencipta nama. Dahulu terasing, kini dia berdiri selaku salah seorang penyanyi wanita berkaliber.

Siapa sangka, jalannya menggapai impian bergelar penyanyi dipermudahkan meskipun terpaksa meredah banyak rintangan dan onak duri.

Lebih manis, impian dan angan-angannya untuk menyanyi di pentas berprestij seperti Istana Budaya yang ditanam sejak tamat zaman persekolahan akhirnya tertunai.

Aina diberi peluang keemasan untuk membuat persembahan di sana kelak.

“Sumpah saya memang terkejut dan tidak pernah sangka dengan peluang keemasan yang diberikan ini.

“Saya akui masih hijau dan baharu dalam bidang nyanyian. Peluang seperti ini bukan semua orang dapat lebih-lebih lagi bagi yang masih hijau seperti saya.

“Dulu hanya angan-angan, sekarang tak sangka dapat peluang buat persembahan di pentas berprestij negara. Rasa macam mimpi pun ada,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui baru-baru ini.

Kongsi penyanyi berusia 28 tahun itu lagi, peluang yang diberikan untuknya menjayakan Konsert Patriotik Tanah Airku bersama beberapa nama besar lain ibarat satu penghormatan buat diri serta kerjaya seninya.

AINA mengakui tiada niat untuk menunjuk-nunjuk atau riak membeli mikrofon berharga puluhan ribu ringgit baru-baru ini

Menunjuk-nunjuk

Tutup cerita tentang persembahan, Aina baru-baru ini turut menjadi bahan bualan selepas membeli sebuah mikrofon mencecah harga puluhan ribu ringgit demi kerjayanya.

Akui penyanyi bersuara ‘full-lyric soprano’ itu, dia sanggup berhabis dan mengumpul duit untuk membeli mikrofon idamannya menggunakan wang hasil titik peluhnya menyanyi.

Jelas Aina, dia mula menyimpan sejak tiga tahun lalu. Menerusinya, dia berjaya membeli mikrofon berwarna biru yang ditempah khas.

“Saya mula kumpul duit sejak melancarkan lagu Sumpah. Saya memang dah lama idam untuk ada mikrofon sendiri.

“Sebab tengok Taylor Swift dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, mereka ada mikrofon sendiri. Jadi tak salah kalau saya pun nak ada satu. Lagipun untuk kegunaan kerja juga,” ujar Aina.

Katanya, pencapaian tersebut membuatkan dia terinspirasi untuk melakukan persembahan dengan lebih baik selepas ini.

Pada masa sama, Aina berkata, dia langsung tiada niat untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi bersikap riak.

PELANTUN lagu Sumpah ini mengakui terpaksa melantik pelatih peribadi dalam usaha menurunkan sedikit berat badannya untuk kecergasan dan stamina berkekalan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI