fbpx

Selangor bina 6 projek Rumah Idaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan membina enam projek Rumah Idaman di lima kawasan di negeri ini dengan harga mampu milik bernilai RM250,000 setiap unit.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lima lokasi tersebut adalah di Bandar Saujana Putra, Shah Alam 2, Puchong, Cybersouth dan Alam Perdana.

Katanya, pembinaan akan dilakukan pihak pemaju, MGB Berhad dan LBS Bina Sdn.Bhd. bermula November tahun ini dan dijangka siap penghujung 2024.

“Projek tersebut akan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) memastikan kos pembinaan daripada aspek buruh dapat diminimakan bagi memastikan Rumah Idaman mampu dimiliki.

“Rumah itu mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, dua parkir kereta dan dilengkapi kabinet tv, kabinet dapur, penyaman udara, pemanas air dan lain-lain,” katanya ketika mengumumkan Projek Rumah Idaman secara maya hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pembinaan rumah itu juga akan berhampiran dengan kemudahan seperti hospital, sekolah, universiti dan pengangkutan awam.

“Kita ingin memastikan Rumah Idaman boleh diakses menerusi sistem jaringan lebuh raya di seluruh negeri ini.

“Apa yang pasti pihak kerajaan negeri komited untuk memastikan rakyat negeri ini dan warga Malaysia yang tinggal dan bekerja di sini akan memiliki rumah mereka sendiri,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI