SHAH ALAM – Kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM2juta dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan Op Benteng di perairan Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini termasuk dalam pembelian basikal dan motosikal elektrik kepada pasukan keselamatan dan terbukti membantu mereka menahan PATI ketika pelaksanaan Op Benteng.
“Saya percaya kita masih meneruskan Op Benteng dan operasi itu harus terus dilaksanakan.
“Bukan sahaja PATI dapat ditangkap malah Op Benteng ini bertujuan memerhati dan memantau tekong-tekong termasuk tekong darat yang menjadi tali barut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan skim pembiayaan baharu hijrah Selangor hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan Maritim Malaysia Selangor mendedahkan pihaknya mengesan cubaan pihak tertentu membawa masuk 150 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia setiap minggu untuk bekerja di pelbagai sektor selepas mendapati sektor ekonomi negara yang merudum akibat Covid-19 kini dibuka semula.
PATI memilih untuk menempuh perjalanan berbahaya kerana hanya perlu membayar RM1,500 bagi satu kepala
berbanding masuk secara sah yang memerlukan mereka melalui pelbagai prosedur dan membayar kos dua kali
ganda.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau percaya sekiranya maklumat itu diketahui maka pihak polis dan pasukan keselamatan akan terus memastikan sempadan perairan negeri ini khususnya tidak dicerobohi.
“Apabila dicerobohi boleh membawa kepada potensi perebakan covid-19,” jelasnya. – K!ONLINE