PETALING JAYA – Sasterawan Negara, Datuk Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama pena Kemala meninggal dunia pada usia 80 tahun hari ini.
Menurut Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air.
“Warga Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Datuk Ahmad Khamal Abdullah atau Kemala.
“Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sastera tanah air dan nusantara. Allahyarham sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dan bergiat aktif bersama-sama DBP demi bahasa dan persuratan Melayu,” kata kenyataan DBP hari ini.
Sementara itu, media melaporkan Ahmad Khamal meninggal dunia ketika tidur kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Ainal Adnin Ahmad Khamal yang dalam satu kenyataan.
Ahmad Khamal yang juga penyair dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada tahun 2011. – K! ONLINE