PETALING JAYA – Enggan mengeruhkan keadaan, pelawak versatil, Harith Iskander teguh dengan pendiriannya tidak mahu mengulas lanjut susulan isu bekas pengurus usahawan kontroversi, Nur Sajat, Nurnilam Sari yang berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Semalam, kecoh dalam ruang media sosial apabila Nurnilam yang juga merupakan sepupu Nur Sajat mendakwa temu bual Harith dalam rancangan What’s Going On Malaysia yang disiarkan dalam Facebook bersifat berat sebelah sehingga menjejaskan reputasinya.
Harith bagaimanapun bertegas, dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengacara program terbabit dan tidak berniat menyakiti hati mana-mana pihak.
“Saya bukan wartawan penyiasatan ataupun seorang hakim. Kita semua tidak berada dalam kedudukan untuk menghakimi mana-mana pihak.
“Berkenaan ugutan sepupu Nur Sajat dalam media sosial, saya tiada komen. Saya percaya pasukan saya telah menghubunginya (Nurnilam). Apapun yang orang cak, baik atau buruk, sebagai orang Islam, kita bertanggungjawab untuk menebarkan kasih sayang dan kebaikan tidak kira sama ada buruk sesuatu situasi itu.
“Pihak saya telah menerima banyak komen yang menjijikkan. Saya hanya mendoakan kebaikan untuk semua orang dan teruskan kehidupan seperti biasa.
“Sebagai seorang netizen yang bertanggungjawab, kita perlu ingat yang kita punya peranan untuk menyebarkan hanya perkara-perkara baik dalam ruang media sosial demi kebaikan semua orang terutama status kesihatan mental mereka,” kata Harith ketika dihubungi Kosmo! Online menerusi isteri yang juga pengurusnya, Dr Jezamine Lim.
Harith atau nama lengkapnya, Harith Iskander Musa, 55, turut memaklumkan bahawa dia hanya menjalan peranan sebagai pengacara atau dalam program berkenaan dan tidak berniat untuk menguris hati mana-mana pihak.
“Untuk pengetahuan semua, What’s Going On Malaysia merupakan rancangan bual bicara saya berbicara dengan para tetamu tentang isu-isu semasa untuk masa depan lebih baik negara ini.
“Saya pernah temu bual Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tun Dr. Mahathir, Nurul Izzah, Syed Saddiq, Tony Fernandes dan saya tidak pernah menyebelahi mana-mana pihak, terutama berkaitan parti-parti politik. Rancangan kendalian saya itu bersifat neutral,” kata Harith lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, Nurnilam menegaskan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Harith susulan temu bualnya bersama usahawan tersebut di laman Facebook baru-baru ini yang didakwa berat sebelah.
Nurnilam dalam satu hantaran Facebooknya berkata, Harith Iskander sebagai hos temu bual berkenaan tidak sepatutnya membenarkan pesalah bercakap berhubung kes penipuan yang telah diadili di mahkamah.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada Harith Iskandar kerana membenarkan orang bersalah bercakap mengenai kes penipuan yang telah diadili di mahkamah. Mencemarkan maruah dan reputasi,” katanya.
Menerusi temu bual disiarkan, Sajat yang kini menetap di Australia itu mendedahkan antara sebab dia melarikan diri ialah kerana takut ditangkap dan diletakkan dalam penjara lelaki. – K! ONLINE