IPOH – Pemain muda Perak FC sudah bersedia untuk memikul tugas berat menyaingi pencabar lain dalam kumpulan B pada baki kempen Piala Malaysia 2021 bermula hujung minggu ini.
Keyakinan pengurus pasukan, Rashidi Abdul Rahim itu berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan ubi muda Perak sejak kebelakangan ini.
“Ubi muda Perak sudah bersedia untuk menggegar kumpulan B dalam baki empat perlawanan ini dan berdasarkan persembahan semasa tiga perlawanan persahabatan, saya yakin mereka boleh menjayakan misi kami untuk ke suku akhir kali ini, ” katanya.
Rashidi berkata, perubahan corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih Shahril Nizam Khalil berjaya membawa kepada peningkatan pasukan.
“Pemain sudah dapat melaksanakan perancangan jurulatih dengan berkesan dan mereka berjaya menampilkan permainan dan menonjokan kualiti serta kematangan diri,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap pemain berupaya mengekalkan momentum mereka apabila turun bertemu Terengganu FC di Ipoh, Sabtu ini.
Pengurus Perak itu berkata, Perak mampu menurunkan barisan terkuat kerana bebas dari kecederaan.
“Tiada masalah kecederaan atau penggantungan. Kita akan turun kesebelasan terbaik nanti,” katanya.-K! ONLINE