fbpx

Peniaga rugi gajah ‘pecah masuk’ kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subuh (kanan) menunjukkan pintu utama kedai yang rosak akibat serangan gajah dalam kejadian di Felda Bukit Waha, Kota Tinggi, malam semalam.

KOTA TINGGI – Seorang pengusaha kedai tapai dan buah-buahan di Felda Bukit Waha di sini kerugian kira-kira RM7,000 apabila kedainya ‘dipecah masuk’ gajah liar malam semalam.

Norhayati Subuh, 35, berkata, kehadiran gajah liar tersebut disedari penduduk yang menetap di sebelah kedai bapanya itu sebelum bertindak menghubungi abangnya untuk memaklumkan kejadian itu.

Katanya, abangnya yang terus ke kedai untuk memeriksa keadaan mendapati terdapat sekumpulan gajah sedang menyerang kedai berkenaan dan memakan buah yang ada.

“Abang dapat tahu kira-kira pukul 2 pagi. Terdapat kira-kira tiga ekor gajah ketika itu. Haiwan itu turut memecahkan pintu utama kedai, syiling dan bumbung juga rak buah yang ada di kedai.

“Bukan sahaja kedai bahkan pokok kelapa di belakang kedai yang ditanam juga habis dimusnahkan. Difahamkan mereka berkeliaran dari pukul 2 pagi hingga 5 pagi.

“Apa yang menyedihkan kami baru sahaja berbelanja barang kedai semalam. Selain buah-buahan terdapat juga makanan kudapan seperti kerepek yang orang hantar di kedai ini. Semuanya habis rosak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Tambahnya, gajah berkenaan dipercayai telah ada sejak kelmarin namun haiwan liar itu hanya bertindak merosakkan pasu dan rak di bahagian luar kedai sahaja.

Jelas Norhayati, sebaliknya apa yang berlaku malam tadi adalah paling buruk pernah terjadi selama kedai Sedap Tapai Enterprise yang diusahakan keluarga wujud sejak 11 tahun lalu.

Katanya susulan kejadian itu juga dia turut membuat laporan polis di Balai Polis Mawai dan memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan Felda.

Sementara itu, bapanya Subuh Bechek, 65, berkata, apa diharapkan pihak berkenaan dapat mengambil tindakan ke atas apa yang berlaku.

Katanya, selama ini haiwan itu hanya berkeliaran berhampiran kedai sahaja namun kini semakin berani merosakkan kedainya mungkin kerana terdesak untuk mencari makanan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI