fbpx

Pemain diingatkan tidak dabik dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALONEY mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terbuai dengan kemenangan ke atas Laos menjelang aksi menentang Mongolia pada kelayakan Piala Asia B-23 esok.

KETUA jurulatih skuad bawah 22 (B-22) negara, Brad Maloney berharap barisan pemain tidak mendabik dada sebaliknya me­ningkatkan momentum ketika aksi kedua Kumpulan J kelayakan Piala Asia B-23 menentang Mongolia esok.

Sebagai rekod, skuad muda Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan selepas meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Laos 1-0 di Stadium MFF, Ulaan­bataar kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, pasukan negara meraih gol tunggal hasil ledakan penyerang muda Terengganu FC II (TFC II), Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68.

Kata Maloney, pasukannya telah lulus ujian pertama dengan jayanya dan kini perlu segera mengalihkan tumpuan untuk pertemuan menentang Mongolia yang berjaya mencipta kejutan apabila mengikat pasukan pilihan, Thailand 1-1 kelmarin.

“Saya tidak terkejut melihat keputusan Mongolia (menentang Thailand) kerana sedar mereka memiliki kualiti tersendiri selain kelebihan fizikal dan saya mahu pemain bersedia,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Mengulas mengenai aksi bertemu Laos, Maloney memuji sikap tidak mudah berputus asa para pemain selain percaturan taktikal yang menjadi antara faktor utama pasukan boleh meraih tiga mata berharga.

“Secara jujur, aksi bertemu Laos sangat sukar dan situasi itu sudah saya jangkakan sejak awal kerana mereka pasukan yang bagus. Namun, saya gembira pemain tidak mudah menyerah dan menggunakan satu peluang keemasan yang ada untuk menghasilkan gol.

“Selain itu, saya percaya keputusan untuk menukar pemain pada babak kedua sedikit sebanyak membantu apabila pemain gantian, Quentin Cheng berjaya mencipta peluang buat Azfar meledak gol tunggal perlawanan,” katanya.

Jika berjaya meraih kemenangan ke atas Mongolia, harapan skuad negara untuk meloloskan diri beraksi pada pentas Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan tahun depan sangat cerah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI