fbpx

Nizam Zaidi anggap ‘kantoi dadah’ sebagai qada dan qadar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIEZAM ZAIDI

PETALING JAYA – Tertangkap dan masih dalam perbicaraan kes dadah membabitkan dirinya bersama dua kru produksi pelakon  Niezam Zaidi menerima dan menganggap apa yang terjadi kepada dirinya sebagai qada dan qadar yang harus ditelan.

Perkara tersebut dinyatakan menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram sempena hari lahirnya yang ke-29 semalam.

Pelakon filem Budak Pailang itu turut bersyukur atas segala ketentuan yang diberikan terhadapnya dan menganggap perkara tersebut sebagai sebuah takdir yang tekah ditentukan Tuhan kepadanya.

“Alhamdulillah, Alhamdulillah atas segala ketentuan takdir qada dan qadar. Alhamdulillah,” ujarnya.

Pada hantaran sama, pemilik nama sebenar Mohd. Niezam Mohd. Zaidi memuat naik video mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan pengikut Instagram atas ingatan dan ucapan hari lahir kepadannya.

“Assalamualaikum, terima kasih banyak-banyak kerana banyak mendoakan untuk saya. Semoga anda semua dirahmati, diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan selebriti turut menitipkan doa buat bekas tunang pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah itu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Niezam bersama pengarah Mohd. Latiff Zami, 49 dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 47 telah ditahan pihak polis dalam satu serbuan yang dibuat di sebuah inap desa di Kuala Kangsar pada 7.15 pagi.

Dalam serbuan tersebut, pihak polis menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1.45 gram dipercayai milik pelakon dan pengarah terbabit.

Pemeriksaan di bilik penolong pengarah pula menjumpai dadah jenis methamphetamine seberat 0.38 gram.

Ketiga-tiga mereka yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar 12 Oktober lalu mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ke atas Niezam dan Mohd Latiff yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Susulan itu, peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka memohon untuk jumlah jaminan diringankan dan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari akhirnya membenar mereka dijamin dengan RM3,000 kepada Niezam, RM2,600 kepada Mohd Latiff dan RM3,200 kepada Saiful Zaidrin, masing-masing dengan seorang penjamin.

Kes disambung pada 1 Disember depan untuk sebutan semula bagi pertuduhan mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI