PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting bagi membantu perniagaan mikro, kecil dan sederhana dan syarikat pemula.
Menurut beliau, ia lebih-lebih lagi apabila 60 peratus pekerjaan di rantau ASEAN adalah daripada golongan berkenaan.
“Bagi memperkasakan kerjasama dalam bidang tersebut, negara ASEAN boleh bekerjasama dengan Australia bagi mempersiapkan komuniti kurang diberi perhatian seperti remaja, wanita dan kanak-kanak di rantau ini, terutamanya dengan kemahiran teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang kritikal.
“Ini akan membantu menambah kemahiran dan menghasilkan pekerja terlatih. Ia juga meningkatkan kualiti tenaga kerja, keberkesanan perniagaan mikro, kecil dan sederhana serta syarikat pemula, akhirnya menambah rangkaian pembekal dan produktiviti pembuatan wilayah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 yang berlangsung hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia, Brunei dan Australia menjalin kerjasama rapat berhubung isu kesihatan mental.
Katanya, di Malaysia, kerajaan telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020-2025 dan sedang merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.
“Dalam hal ini, Malaysia tidak sabar untuk bekerjasama dengan negara ahli ASEAN dan Australia bagi menjadikan penjagaan kesihatan mental lebih mudah diakses dan dicapai menerusi platform digital.
“Malaysia juga menanti-nantikan untuk menghadiri Mesyuarat Pakar-Pakar Kesihatan Mental ASEAN-Australia yang dicadangkan,” katanya. – K! ONLINE