fbpx

KPT cadang inisiatif pengurangan cukai untuk IPTS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk memberi inisiatif pengurangan cukai kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, cadangan inisiatif pengurangan cukai kepada IPTS itu bertujuan membantu IPTS yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19.

“KPT masih membuat libat urus dengan Kementerian Kewangan agar Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan permohonan yang dibuat oleh Pemudah IPTS itu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) mengenai IPTS yang telah gulung tikar dan sama ada kerajaan akan mempertimbangkan “tax holiday” selama dua tahun untuk membantu IPTS dan mengurangkan yuran pengajian.

Terdahulu, Noraini berkata, memang ada beberapa IPTS yang telah ditutup kerana terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kebanyakannya berstatus kolej.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan IPTS tersebut ditutup di atas permohonan dan permintaan secara sukarela, namun KPT sentiasa memberi peluang kepada IPTS untuk memperbaiki pengurusan masing-masing.

“Pengurusan IPTS adalah di bawah akta syarikat, tetapi KPT sentiasa membuat “engagement” dengan IPTS,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, KPT telah menetapkan moratorium kenaikan bayaran yuran iaitu IPTS tidak dibenarkan menaikkan kadar yuran sehingga 31 Disember 2021.

Menurut beliau, malah ada IPTS yang telah pun memberi pengurangan yuran RM520 dan memberi pelbagai inisiatif bagi membantu pelajar B40 seperti pemberian komputer riba percuma.

“KPT hanya memudah cara dan kita anggap IPTS adalah sebuah industri yang berpotensi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI