PETALING JAYA – Penerbit Jaja Ishak menegaskan bahawa dia tidak akan sesekali berkompromi atau ‘menutup sebelah mata’ terhadap mana-mana pelakon atau kru produksi yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Ujar Jaja, dia mengambil serius tentang perkara tersebut dan berharap agar semua syarikat produksi tidak memandang hal berkaitan salah guna dalam dalam kalangan pelakon dan kru sebagai hal mudah.
“Pelakon yang ingin berlakon di bawah produksi saya perlu bersih. Saya tidak akan berkompromi dengan mereka yang didapati mengambil dadah.
“Saya juga tidak akan mengamalkan konsep ‘selagi belum kantoi tidak mengapa’ bagi menutup kesalahan mereka ketika proses penggambaran dijalankan,” jelasnya Jaja yang ditemui di majlis keraian Indigital Music di D’Empangan Udang Galah, Presint 5, Putrajaya, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dia berpendapat isu mengenai pengambilan dadah sebenarnya agak subjektif untuk diperkatakan.
“Saya hanya mengambil kru yang saya pernah bekerjasama dan yakin mereka tidak terbabit dengan gejala negatif sehingga boleh mencemarkan nama syarikat produksi.
“Tidak dinafikan industri lain juga ada berdepan dengan masalah sama, cuma bila membabitkan industri kreatif perkara ini menjadi besar walaupun jumlahnya tak ramai,” jelasnya.
Pada masa sama, Jaja berharap tiada penerbit yang mengamalkan konsep ‘selagi belum kantoi tidak mengapa’ kerana bimbang isu tersebut tidak berkesudahan.
Malah perkara seumpama itu perlu dikekang dari awal kerana boleh memberi imej buruk kepada syarikat produksi lain.
Menurut Jaja, walaupun sukar untuk mengenal pasti individu yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah, namun pihaknya serius mengenai perkara itu.
“Jika tertangkap, saya akan gugurkan nama mereka daripada menyertai atau meneruskan penggambaran.
“Sebenarnya untuk mengenal pasti individu yang terbabit dengan dadah ini agak sukar tapi saya bersyukur kerana sudah mengambil kru yang dikenali dengan rekod bersih dari awal,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jaja memaklumkan syarikat produksi miliknya Kembara Sufi Sdn. Bhd. sedang sibuk menjalani beberapa penggambaran. Antaranya drama bersiri berjudul Saat Kau Takluk Cinta Ini yang bakal ditayangkan di slot Samarinda TV3. – K! ONLINE