fbpx

Hadiah 20 tahun Misha Omar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISHA OMAR

KERINDUAN para peminat terhadap penyanyi popular Misha Omar akhirnya terubat selepas dia akan muncul dengan persembahan Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang di Panggung Sari, Istana Budaya pada 30 Oktober ini.

Acara anjuran Istana Budaya tersebut merupakan konsert pertama yang diadakan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu tamat.

Menurut pengarah muzik dan konduktor OSK, Nasran Naw, pihaknya teruja untuk menjayakan konsert bersama Misha memandangkan ini kali pertama dia bekerjasama dengan penyanyi itu.

“Akhirnya selepas berkali-kali ditangguh dan bertukar tarikh, akhirnya acara ini dilaksanakan juga. Harapannya agar peminat tegar Misha tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan hebat pada malam konsert nanti,” katanya pada majlis sidang akhbar konsert berkenaan di Istana Budaya baru-baru ini.

Tambah Nasran, dia berpendapat bahawa pemilihan pelantun lagu Tanpa Rela itu sangat tepat.

“OSK mempunyai kelas yang tersendiri dan pemilihan Misha sangat bertepatan dengan konsep konsert yang meraikan seorang bintang terkenal tanah air di atas pentas gah seperti Istana Budaya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md. Desa pula berharap agar Konsert OSK Bersama Bintang dapat menjadi salah satu saluran penyampaian maklumat penting kepada masyarakat mengenai keistimewaan dan kelainan muzik orkestra simfoni.

“Kami di Istana Budaya sangat bersyukur kerana akhirnya dibenarkan beroperasi kembali dan kini hadir dengan sebuah konsert berskala mega bersama Misha.

“Teruja, itu yang kami rasakan untuk konsert kali yang pertama kali dianjurkan selepas PKP 3.0. Kami harap semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” ujarnya lagi.

Menyentuh tentang pelaksanaan, Istana Budaya akan memastikan setiap acara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi mengekang penularan virus Covid-19 dalam setiap majlis yang diadakan, kami akan memastikan semuanya mengikut SOP.

“Tentang kapasiti penonton pula, mengikut kelonggaran SOP, acara tersebut akan menyediakan sebanyak 735 tempat duduk. Jadi, konsepnya sekarang, siapa cepat dia dapat,” katanya lagi.

Tutur Zaiton, orang ramai yang ingin menyaksikan konsert tersebut perlu lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka sepanjang persembahan dan mematuhi SOP peraturan ditetapkan Istana Budaya.

Syukur dalam teruja

Syukur dalam teruja, Misha akhirnya menarik nafas lega apabila konsert yang ditangguh beberapa kali tersebut akhirnya akan terlaksana.

Ujarnya, konsert istimewa berkenaan merupakan hadiah untuk peminatnya sempena ulang tahun ke-20 dia bergelar anak seni.

“Bersyukur sangat apabila pihak Istana Budaya mengesahkan konsert ini akan berlangsung pada 30 Oktober. Perjalanan untuk merealisasikannya seperti ‘roller coaster’.

“Saya juga tidak sabar untuk membuat persembahan bersama OSK kerana umum tahu mereka sememangnya sekumpulan pemuzik yang sangat hebat,” ujarnya lagi.

Bercerita soal kelainan, penyanyi itu memberitahu, tiada gimik akan dipersembahkannya melainkan hanya menyalurkan emosi di atas pentas.

“Rasanya tiada gimik besar. Seperti semua yang mengenali saya, hanya emosi dan perceritaan yang akan saya tonjolkan. Itulah Misha Omar yang anda semua kenali,” jawabnya.

Pada malam tersebut, Misha akan mendendangkan lebih 10 buah lagu termasuklah milik dua penyanyi legenda, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Sudirman termasuklah Allahyarham Siti Sarah.

“Ada sebuah slot pendek iaitu segmen lagu-lagu penyanyi kegemaran saya. Sebagai penghormatan istimewa buat mereka.

“Saya akan menyanyikan lagu Kesetiaan milik Siti Sarah iaitu rakan baik yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Doakan saya boleh sampaikannya dengan cemerlang,” tuturnya.

Antara lagu yang akan didendangkan Misha ialah Bunga-Bunga Cinta, Dedebu Cinta dan Sampai Bila.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI