MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi bayangan akan menurunkan barisan terkuatnya pada aksi pusingan keempat menentang West Ham bagi mencerahkan peluang mempertahankan kejuaraan Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini.
Sebagai rekod, skuad The Citizens merupakan juara Piala Liga empat kali berturut-turut sejak 2018 dan aksi menentang skuad David Moyes itu boleh dianggap cabaran terbesar mereka dalam usaha mengekalkan status kejuaraan kali ini.
Kata Guardiola, pertemuan menentang West Ham adalah sangat getir kerana sudah menjadi sasaran buat pasukan untuk melangkah jauh pada kejohanan ini meskipun pada pusingan yang lepas bertemu Wycombe, seramai lima pemain remaja telah diturunkan.
“Saya boleh katakan barisan pemain terkuat kami akan diletakkan dalam kesebelasan utama pada aksi bertemu West Ham di Stadium London nanti. Saya jangka ia bakal menjadi perlawanan yang sengit kerana kedua-dua pasukan mahu mara ke peringkat suku akhir.
“Bagaimanapun, mungkin ada sedikit rombakan dengan merehatkan beberapa pemain utama manakala barisan pemain remaja daripada peringkat akademi akan diletakkan dalam senarai simpanan.
“Apa yang pasti, kami sangat teruja untuk terus bersaing pada kejohanan Piala Liga kerana secara sejarahnya, ini adalah kejohanan yang kami berjaya dominasi sejak empat tahun lalu dan tidak keterlaluan untuk saya katakan, kami mahu kekalkan kejuaraan buat kali kelima,” katanya.– AGENSI