PETALING JAYA- Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Jumaat ini di Dewan Rakyat diharap dapat memberi tumpuan terhadap pemerkasaan wanita dalam usaha memulihkan kemajuan negara.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kerajaan juga tidak boleh menafikan sumbangan wanita dalam sektor ekonomi khususnya pekerjaan yang memberi impak besar terhadap perkembangan ekonomi negara.
“Jadi, Belanjawan Keluarga Malaysia 2022 perlu melihat aspek untuk membahagiakan wanita dengan meliputi tiga aspek iaitu ekonomi, kepimpinan dan sosial.
“Oleh itu, kami mencadangkan kerajaan untuk melihat semula cadangan penubuhan pusat transformasi usahawan wanita di setiap negeri dengan menggunakan model holistik PASARNITA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, PASARNITA menawarkan ruang niaga dan melebarkan jaringan perniagaan wanita selain menyediakan khidmat nasihat keusahawanan dan mempamerkan produk serta jenama.
“Kerajaan juga perlu memudah cara proses pemerolehan pinjaman golongan ‘wanita tunggal’ dengan memberi kebenaran menggabung pendapatan dengan adik-beradik atau ibu bapa yang layak.
“Pihak kerajaan juga perlu menggerakkan usaha menyokong secara serius dan bersepadu menggalakkan wanita menjana pendapatan kedua dengan memudahkan syarat pinjaman mikrokredit untuk usahawan wanita yang menjalankan perniagaan separuh masa,” ujarnya. -K! ONLINE