fbpx

Bekas ejen pengurusan didakwa makan rasuah RM9,600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Choon Siew (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas 23 pertuduhan menerima rasuah RM9,600 antara Mei 2017 hingga September 2019. - Foto oleh BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Seorang bekas ejen pengurusan sebuah pangsapuri di Johor Bahru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas 23 pertuduhan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM9,600 antara Mei 2017 hingga September 2019.

Tertuduh, Tay Choon Siew, 68, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM400 dan RM800 daripada seorang kontraktor menerusi akaun miliknya sebagai dorongan mencadangkan syarikat milik kontraktor terbabit melakukan kerja-kerja pembersihan dan landskap di sebuah pangsapuri tempatnya bekerja ketika itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru antara 3 Mei 2017 hingga 3 September 2019.

Bagi kesemua pertuduhan Choong Siew didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Sabapathy.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Hakim turut menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI