PENYERANG sensasi skuad bawah 22 (B-22) negara, Azfar Fikri Azhar mengakui teruja apabila berjaya muncul wira selepas menjaringkan gol tunggal untuk menewaskan Laos 1-0 pada aksi kelayakan Piala Asia B-23 kelmarin.
Pada perlawanan pembukaan Kumpulan J itu, penyerang kelab feeder, Terengganu FC II (TFC II) itu mempamerkan bisa tersendiri untuk menyudahkan hantaran Quentin Cheng pada minit ke-68 untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat kem kebangsaan.
Azfar yang baru berusia 21 tahun mahu menjadikan gol tersebut sebagai pemangkin semangat dalam usaha memberi aksi yang lebih baik pada baki dua perlawanan menentang Mongolia dan Thailand nanti.
“Saya sangat gembira dengan sumbangan yang diberikan sepanjang perlawanan ini terutama selepas meledak satu gol yang menjadi jaringan kemenangan buat skuad negara.
“Ini adalah kaps pertama saya di pentas antarabangsa dan saya akan terus bekerja keras untuk membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Secara keseluruhan, saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan yang percaya dengan bakat saya dan gol ini saya dedikasikan buat peminat bola sepak tanah air,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sebagai rekod, kehadiran Azfar dalam skuad B-22 boleh dikatakan sebagai ‘bidan terjun’ selepas dipilih saat akhir oleh pengendali, Brad Maloney bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ahmad Aysar Hadi Mohd. Shapri yang mengalami kecederaan.
Sepanjang Liga Premier musim ini, Azfar berjaya meledak dua gol buat skuad TFC II untuk membantu pasukan menamatkan saingan di kedudukan ketiga.