MACHANG – Seorang abang hanya mampu melihat adiknya yang berusia enam tahun terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas semasa mereka sekeluarga berkelah di Pusat Rekreasi Hutan Lipur, Bukit Bakar, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 4.50 petang itu disedari kanak-kanak berusia 11 tahun yang merupakan abang kepada Puteri Aulia Zahra Mohd. Nawawi,6, yang melihat mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Suprintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan mendapati, Puteri Aulia Zahra bersama empat adik-beradik dan ibu mereka bertolak dari rumah mereka di Kampung Projek LTN Kampung Air Tawar dekat Pasir Puteh, kira-kira pukul 3.15 petang.
Menurutnya, apabila tiba di pusat rekreasi berkenaan, lima beradik itu terus bergegas keluar dan terus mandi di sungai berkenaan.
“Semasa mereka sedang bermandi-manda, abang mangsa melihat kanak-kanak itu terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
“Melihat keadaan adik yang lemas, abangnya telah memaklumkan kejadian itu kepada ibu mereka, Raja Zubaidah Raja Manshor, 41, yang berada di tempat letak kereta di Taman Hutan Rimba, Bukit Bakar iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Ganti, ibu mangsa terus bergegas ke lokasi kejadian dan meminta bantuan orang awam sebelum menghubungi pihak polis.
Ujarnya, sepasukan anggota polis telah pergi ke lokasi kejadian dan melakukan selaman selama 10 minit di kawasan itu sebelum menemui mangsa yang berada di dasar sungai.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Machang di sini untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya. – K! ONLINE