ORLANDO, FLORIDA – Seorang ibu dari Florida, Amerika Syarikat melahirkan tiga orang anaknya pada tarikh yang sama sepanjang tempoh enam tahun lepas, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Kristin Lammert, melahirkan ketiga-tiga anak perempuannya pada tarikh 25 Ogos dengan berselang tiga tahun bermula 2015.
Anak pertamanya, Sophia, dikurniakan adik perempuan, Giuliana pada ulang tahun kelahirannya yang ketiga, dan pada 25 Ogos baru-baru ini, mereka mendapat adik perempuan baharu yang diberi nama Mia.
“Ketika melahirkan anak ketiga, saya amat terkejut dan ia bagaikan satu takdir yang menakutkan,” kata Lammert.
Tambahnya, dia dan suaminya sememangnya merancang untuk melahirkan Sophia pada tempoh masa tersebut, namun tidak untuk Giuliana dan Mia.
Kelahiran Giuliana hanya melibatkan perancangan untuk menjarakkan kehamilan selama tiga tahun, manakala Mia dirancang untuk dilahirkan selepas 1 September.
Selain itu, Lammert juga perlu menjalani prosedur mencetuskan kelahiran kerana menghadapi sedikit komplikasi sebelum melahirkan.
“Tarikh tersebut tidak dirancang. Doktor tidak akan mencetuskan kelahiran hanya semata-mata kerana tarikh itu kelihatan ‘cantik’,” kata Lammert.
Sementara itu, pakar obstetrik dan ginekologi Hospital Kesihatan Winnie Palmer untuk Wanita dan Kanak-Kanak, Dr. Christine Greves berkata, kejadian kelahiran pada tarikh yang sama itu adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat atau didengarinya.
“Apa yang kami tahu, fenomena ini adalah sesuatu yang amat jarang berlaku,” katanya. – AGENSI