GEORGE TOWN – Seorang lelaki dikhutiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau juga dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang di Kilometer 12.6 arah Batu Maung, dekat sini awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.47 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 20 tahun beralamat di Nibong Tebal, Seberang Perai yang dikhuatiri telah lemas.
“Berdasarkan maklumat daripada pihak pasukan peronda, mangsa disyaki telah terjun ke dalam laut.
“Turut ditemui adalah sebuah motosikal mangsa jenis Benelli yang ditinggalkan di atas jambatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut jurucakap itu, usaha mengesan mangsa sedang giat dilakukan dengan disertai pasukan Maritim Malaysia dan polis marin. – K! ONLINE