PETALING JAYA – Pelakon sensasi, Reen Rahim terus berteka-teki apabila meminta peminatnya bersabar sehingga minggu depan berhubung spekulasi bahawa dia telah dilamar seseorang yang berjaya menambat hatinya.
Reen berkata, dia menerima banyak pertanyaan daripada peminat sejak beberapa hari lalu selepas memuat naik gambar sebentuk cincin dalam Instagram miliknya.
Katanya, ada peminat yang masih menghantar pesanan kepadanya untuk bertanya sama ada benar atau tidak dia telah dilamar seseorang.
“Saya akan jawab semua persoalan November nanti (minggu depan). Buat masa sekarang saya harap semua peminat dapat bersabar.
“Buat masa sekarang, biarlah saya mengunci mulut dahulu daripada memberi sebarang komen lanjut,” katanya.
Terdahulu, tindakan Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 33, mengundang persoalan dalam kalangan peminat selepas menerima sebentuk cincin daripada seseorang yang tidak dikenali.
Perkara tersebut membuatkan ramai tertanya-tanya adakah juara pertandingan realiti Pilih Kasih musim ketiga itu dilamar insan istimewa yang berjaya menambat hatinya.
Sebelum ini, Reen pernah menjalin hubungan cinta jarak jauh dengan seorang jejaka yang dikenali sebagai Mr. AR sekitar tiga tahun lalu.
Rata-rata peminat dan rakan artis turut menitipkan ucapan tahniah dan mendoakan agar urusan pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu dipermudahkan.
Tidak setakat itu, terdapat juga netizen yang mendakwa tindakan Reen tersebut sebagai satu gimik untuk projek seni dan perniagaan yang diusahakannya. -K! ONLINE