LONDON – Sepasukan saintis berjaya menghasilkan kaedah rawatan antipenuaan baharu dengan menggunakan najis bagi mengembalikan memori dan tubuh badan seperti ketika waktu muda, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kajian yang dilakukan di Kolej Universiti Cork, Ireland itu menggunakan tikus sebagai bahan uji kaji, di mana najis tikus muda dimasukkan ke dalam usus tikus tua menggunakan tiub.
Selepas proses tersebut dilakukan, tikus tua mula menunjukkan beberapa kesan positif termasuk peningkatan kebolehan untuk belajar, peningkatan daya ingatan dan pengurangan kadar keresahan.
Ketua penulis kajian tersebut, John Cryan berkata, beliau dan pasukannya merancang untuk menggunakan hasil kajian untuk menyiasat hubung kait antara usus dengan otak pada masa akan datang.
Seterusnya, mereka berhasrat untuk melakukan kajian sama ke atas manusia untuk melihat sama ada ia boleh menjadikan manusia kembali muda.
“Jika manusia boleh mengekalkan fungsi kognitif mereka dalam keadaan baik bagi tempoh lama dan sekiranya mereka kurang sensitif terhadap jangkitan dan kesan-kesan imunisasi, ia akan memberi kesan yang besar kepada kualiti kehidupan harian,” katanya. – Agensi