fbpx

Rumah bakal pengantin dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLELI (kanan) melihat keadaan rumah keluarga Intan Dahira yang dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat di Kota Tinggi, Johor semalam.

KOTA TINGGI – Persiapan seorang bakal pengantin tergendala selepas rumahnya dinaiki air dalam kejadian banjir kilat ekoran hujan lebat selama dua jam di Kampung Telok Sengat di sini pada petang kelmarin.

Intan Dahira Azman, 30, berkata, adiknya, Intan Aina Tasha, 25, bakal melangsungkan pernikahan pada bulan hadapan.

Menurutnya, mereka sekeluarga baru selesai membersihkan rumah termasuklah membeli karpet baharu sebagai persiapan untuk majlis tersebut.

“Biasanya, air banjir hanya masuk kawasan dapur mencecah paras buku lali, namun semalam (kelmarin) air deras masuk ke dalam rumah. Dalam sekelip mata sahaja sudah mencecah paras betis,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Intan Dahira menerima lawatan daripada Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Johor Lama, Rosleli Jahari yang menye­rahkan sumbangan berupa me­sin water jet.

Bercerita lanjut, Intan Dahira memberitahu, semasa kejadian, adik­nya yang berada di rumah sempat mengalihkan kereta, manakala barang-barang lain digenangi air kerana tidak sempat diselamatkan.

Jelas wanita itu, kejadian banjir kilat tersebut sudah berlaku lebih 25 tahun lalu kerana rumahnya terletak di kawasan pa­ling rendah.

“Isu (banjir) ini bukan baharu bahkan arwah ibu bapa kami sudah menambak kawasan sekitar bagi mengelak air masuk ke dalam rumah.

“Semalam (kelmarin) merupakan kejadian paling teruk meskipun tiada fenomena air pasang besar berlaku,” katanya.

Sementara itu, Rosleli memberitahu, keadaan banjir kilat tersebut dipercayai berpunca daripada sistem perparitan yang tidak dinaik taraf.

“Banjir kilat di kawasan ini kerap berulang, tambahan pula rumah ini terletak simpang jalan dan rendah.

“Jadi apabila hujan lebat, air tidak lepas ke laut kerana sistem longkang yang ada kecil tidak dapat tampung air selain tidak dinaik taraf.

“Isu perparitan di Pekan Te­luk Sengat juga memerlukan jalan penyelesaian kerana kerap berlaku sekiranya hujan lebat. Kita khuatir jika bertembung air pasang keadaan menjadi lebih teruk. Permasalahan ini akan dibawa kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI