KUANTAN – Demi sepokok keladi hiasan berharga RM140, seorang suri rumah berusia 36 tahun terpaksa menanggung kerugian sehingga RM4,240 selepas ditipu dalam urusan pembelian tanaman berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang tinggal di Semambu di sini, tertarik dengan iklan penjualan pokok hiasan terbabit di aplikasi TikTok.
“Mangsa telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp pada 24 Oktober lalu dan bersetuju untuk membeli sepokok keladi hiasan pada harga RM140 dan mangsa telah membuat bayaran pembelian berkenaan melalui pemindahan secara online pada hari yang sama.
“Keesokannya mangsa telah menerima mesej WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier dan meminta mangsa membuat bayaran sebagai kos menjaga pokok berkenaan sepanjang proses penghantaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini
Menurutnya, mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran berjumlah RM4,240 sebagai kos penjagaan pokok berkenaan termasuk kos penyemburan.
Katanya, selepas membuat semua bayaran berkenaan, suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM2,000 namun mangsa tidak berbuat demikian kerana menyedari sudah ditipu.
Ujarnya, mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE