BARCELONA – Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui puas selepas menyaksikan pasukannya berjaya mendominasi aksi El Clasico selepas menewaskan Barcelona 2-1 pada saingan di Camp Nou awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad The Galacticos tidak mempunyai masalah untuk mengutip tiga mata penuh hasil ledakan David Alaba dan Lucas Vazquez, manakala skuad tuan rumah mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan Sergio Aguero.
Kata Ancelotti, taktikal diterapkan untuk mengharungi aksi itu lebih ampuh berbanding apa yang dilakukan oleh pengendali Barcelona, Ronald Koeman dan percaya pasukannya layak untuk menang sekali gus mengemudi takhta La Liga ketika ini.
“Saya rasa apa yang pasukan pamerkan pada aksi ini berada dalam kelas tersendiri dan jelas taktikal yang saya terapkan lebih menjadi berbanding pasukan lawan kerana kami melakukan serangan balas pantas cukup bahaya.
“Meskipun penguasan bola lebih banyak dilakukan oleh Barcelona, ia bukan satu masalah kerana benteng pertahanan serta jentera serangan kami berada di puncak prestasi ketika ini dan saya berpuas hati dengan kemenangan yang diraih kerana ia membolehkan kami mendahului carta liga ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Koeman mengakui kegagalan pasukannya menyerap tekanan serta asakan yang dilakukan oleh Real menjadi salah satu punca utama mereka gagal mencuri sebarang mata berharga di laman sendiri.
“Kami telah beraksi dengan baik pada babak pertama meskipun dibolosi satu gol. Namun, masih ada kesilapan mudah dilakukan terutama apabila membuka ruang dan peluang buat pasukan lawan melakukan asakan, sekali gus membuahkan gol,” katanya. – AGENSI