fbpx

Quartararo juara dunia MotoGP 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUARTARARO (tengah) bersama kru pasukan Yamaha meraikan kejayaannya muncul sebagai juara dunia MotoGP pada GP Emilia Romagna di Litar Misano kelmarin. – YAMAHA

RIMINI – Pelumba Perancis, Fabio Quartararo mengakui aksi konsisten pada setiap pusingan perlumbaan adalah kunci kejayaannya menyambar gelaran dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha tersebut memastikan gelaran sulung MotoGP selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Litar Misano di tempat keempat.

Keputusan itu menyaksikan dia memiliki perbezaan 68 mata ke atas pencabar terdekat dari pasukan Ducati, Francesco Bagnaia yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan ke-23.

Biarpun berbaki dua perlumbaan lagi, pelumba kelahiran Pe­rancis itu sudah mampu menarik nafas lega selepas merangkul kejuaraan dunia pertama dalam kariernya apabila mengumpul 267 mata setakat ini.

Lebih manis, Quartararo juga berjaya mengukir sejarah apabila menjadi pelumba Perancis pertama meraih gelaran dunia pada saingan itu.

“Saya rasa, tunggangan yang konsisten membantu kami untuk memperoleh kejayaan ini selepas berjaya menamatkan semua perlumbaan dan terus mengutip mata pada setiap pusingan.

“Saya sebelum ini hanya meraih tiga mata selepas berdepan masalah dengan kecederaan arm pump tetapi saya kembali mempamerkan prestasi cukup baik selepas itu.

“Apa yang saya boleh katakan ialah pada tahun ini kami lebih pantas dan konsisten. Saya rasa itu adalah kunci kejayaan kami untuk memenangi gelaran dunia ini,” katanya.

Kejayaan itu juga memastikan Yamaha kembali dinobatkan sebagai juara selepas kali terakhir mereka mendominasi perlumbaan pada 2015 menerusi bekas pelumbanya, Jorge Lorenzo.

Quartararo juga yakin banyak lagi perkara yang perlu dipelajari terutama memahami keadaan jentera selepas bergelut dengan beberapa masalah.

“Sejujurnya, saya sangat baik dengan jentera tetapi saya masih bergelut dengan beberapa perkara terutama untuk memintas pelumba di hadapan saya tetapi ia bergantung pada keadaan litar,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI