fbpx

PPV ditutup selepas tiga bulan beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

IPOH – Petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersedia untuk melaksanakan suntikan dos penggalak kepada warga pasukan itu sekiranya khidmat mereka diperlukan.

Sepanjang beroperasi sejak Julai lalu, PPV berkenaan telah berjaya menyempurnakan proses vaksinasi melibatkan seramai 19,444 penerima.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah jika diminta membantu Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi melaksanakan tanggungjawab itu.

Menurut beliau, pengoperasian PPV berkenaan telah memberi pendedahan pada petugas klinik yang juga anggota PGA termasuk melaksanakan program outreach kepada penduduk setempat.

“Program outreach yang kita jalankan pula melibatkan empat perkampungan Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kinta serta masjid dalam kariah Ulu Kinta.

“Ini adalah hasil kerjasama warga PPV serta kakitangan melibatkan Klinik Kesihatan (KK) Tanjung Rambutan dan KK Chemor,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!

PPV Klinik Briged Utara PGA ditutup secara rasmi pada Jumaat lalu setelah beroperasi selama tiga bulan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Selain memberi vaksinasi kepada warga briged berkenaan dan warga polis di bandar ini, PPV tersebut turut melengkapkan dos suntikan pada lain-lain petugas barisan hadapan seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI