BEIJING – Seorang pengunjung sebuah zoo di China bertindak di luar jangkaan apabila keluar dari kereta dan melakukan provokasi terhadap 11 ekor harimau dalam jarak hanya beberapa meter, lapor akhbar The Sun hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lepas, pengunjung Taman Hidupan Liar Beijing itu melompat keluar dari kereta pandu sendiri yang disediakan pihak zoo untuk ‘berinteraksi’ dengan lebih dekat bersama kawanan harimau putih yang berada di dalam kandang.
Lelaki itu juga dilaporkan tidak mengendahkan larangan petugas zoo yang memintanya agar kembali ke dalam kereta bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini daripada berlaku.
Menerusi klip video yang dikongsikan, lelaki tersebut dilihat sedang membongkok dan mencangkung di hadapan kawanan harimau itu sambil beberapa orang individu lain merayunya untuk pergi dari situ.
Pengawal zoo juga terpaksa melemparkan makanan ke arah haiwan-haiwan tersebut yang berkumpul di hadapan lelaki berkenaan dalam jarak yang berbahaya bagi mengalih perhatian daripadanya.
Tiada sebarang kecederaan atau serangan dilakukan, namun lelaki tersebut ditahan oleh polis dan dikenalpasti sebagai individu berusia 56 tahun bernama Jiang.
Pihak polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden tersebut. – Agensi