AKTRES Malaika Arora menepis dakwaan yang mengatakan dia berjaya mencipta nama sebagai salah seorang pelakon dalam industri perfileman Bollywood hanya kerana dia pernah menjadi kakak ipar kepada aktor terkenal, Salman Khan.
Seperti semua sedia maklum, Malaika sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Arbaaz Khan yang juga abang kepada Salman pada 1998. Mereka bagaimanapun kemudiannya bercerai pada 2017.
Disebabkan pengaruh Salman yang besar pada ketika itu, ramai pihak berpendapat bahawa Malaika berjaya mencipta nama disebabkan oleh pengaruh aktor tersebut.
“Ramai yang menganggap saya menumpang populariti Salman untuk dikenali dalam industri walaupun hakikatnya saya bekerja keras untuk perkara itu,” jelasnya.
Malaika sebelum ini juga pernah bergandingan dengan Salman menerusi dua buah filem iaitu Kaante dan Dabangg dengan memegang watak sebagai pasangan kekasih dalam filem tersebut.