fbpx

Majikan perlu tanggung semua kos bawa masuk pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (kanan) diriringi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan menetapkan semua kos bagi membawa masuk pekerja asing ke negara ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kos berkenaan termasuklah kos kuarantin dan ujian saringan Covid-19.

Beliau berkata, sektor perladangan menjadi sektor pertama yang dibenarkan untuk menerima kemasukan pekerja asing baharu.

“Ketibaan semua pekerja asing hanya melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 manakala, bagi pintu masuk ke Sabah dn Sarawak akan diumumkan kemudian.

“Selain itu, tempoh kuarantin pula akan diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari di pusat kuarantin yang telah diperakui oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, seramai 147,705 orang pendatang tanpa izin (Pati) telah berdaftar menerusi Pelan Rekalibrasi Pati.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 124,423 orang Pati telah pulang ke negara asal yang mana kerajaan telah menjana RM71.3 juta daripada pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang ini melalui bayaran kompaun yang dikutip. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI