fbpx

KPDNHEP sita mesin penapis air RM7.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ariffin (kiri) memeriksa barangan rampasan tersebut. /FOTO MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

MOHD FARIZWAN HASBULLAH

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita sebanyak 2,797 unit mesin penapis air pelbagai model dianggarkan bernilai RM7.5 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang di Subang Jaya, pada Khamis lalu.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis yang terletak di ibu kota, mendapati syarikat tersebut telah menjual barangan tanpa mendapat kelulusan KPDNHEP.

“Tindakan rampasan tersebut adalah hasil daripada pemeriksaan lesen syarikat jualan langsung yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP WPKL.

“Syarikat itu didapati telah menyimpan dan menjual produk terbaharu penapis air tanpa mendapat kelulusan pihak kementerian terlebih dahulu,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, sitaan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 6(4) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

“Mengikut seksyen tersebut, mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen telah melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 39(2) Penalti Am dalam akta yang sama,” ujarnya.

Tambahnya, pihak KPDNHEP akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada pihak KPDNHEP melalui portal [email protected], emel [email protected] atau aplikasi telefon pintar Ez ADU. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI