fbpx

Impian besar pesakit kulit bersisik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALMIAH menyapu krim di permukaan kulit Mohd. Irshad ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Siput, Baling semalam.

BALING – Seorang remaja lelaki dari Kampung Siput di sini yang menderita penyakit kulit bersisik kronik atau Ichthyosis berharap dapat pulih seperti biasa untuk menjalani kehidupan normal seperti individu lain.

Remaja terbabit, Mohd. Irshad Azizan, 14, menghidap masalah kulit tersebut sejak berusia enam bulan dan telah melakukan pelbagai rawatan termasuk secara tradisional, namun masih belum menampakkan kesan positif.

Menurut Mohd. Irshad, dia reda dan menerima dengan hati terbuka ujian berkenaan, namun tetap berusaha untuk melakukan rawatan dalam usaha mencari penawar kepada penyakit itu.

“Walaupun tidak dibenarkan melakukan aktiviti lasak seperti pelajar lain di sekolah, saya tetap gembira kerana masih dapat bergaul dengan rakan-rakan berbanding terperap di rumah.

“Bagi menghilangkan rasa bosan menunggu sesi persekolahan bermula dalam masa terdekat, saya bercampur dengan remaja kampung melakukan dengan riadah ringan pada waktu petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Penyakit Ichthyosis berlaku dengan nisbah satu daripada 300,000 kelahiran dan melibatkan gen pesakit yang bermutasi serta sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.

Katanya, dia tetap dalam keadaan gembira meneruskan hidup walaupun mengetahui penyakit itu mungkin terpaksa ditanggung seumur hidup.

“Saya lebih peka kepada situa­si sekarang bagi mengelak kulit mengelupas iaitu dengan kerap mandi, memakai krim pelembab serta mengelak terdedah kepada cahaya panas,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohd. Irshad, Salmiah Abd. Rahman, 52, berkata, dia dan suaminya, Azizan Mohd. Yusof, 61, tidak jemu-jemu berusaha memberi rawatan terbaik kepada anaknya dengan berjumpa doktor dan pakar kulit serta berubat secara tradisional.

“Pelbagai ikhtiar kami lakukan sejak Mohd. Irshad dikesan mengalami penyakit itu, tetapi ke­seluruhan kulit di badannya yang mengelupas tidak pernah berkurangan,” ujarnya.

Katanya, empat anaknya yang lain yang berusia antara 21 hingga 32 tahun tidak menghidap penyakit kulit tersebut.

Salmiah berkata, dia terpaksa membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk membeli krim pelembab dan ubat gatal bagi keperluan anak bongsunya itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI