KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang aktif menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan dalam talian diberkas polis menerusi satu serbuan di sebuah unit kondominium di Cheras di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Sentul dan Cheras susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.
“Kedua-dua suspek ditahan merupakan warga tempatan berusia 23 dan 32 tahun yang berperanan sebagai operator untuk menjerat mangsa menggunakan platform media sosial.
“Turut dirampas adalah satu unit komputer riba, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua keping kad mesin juruwang automatik (ATM),” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah mula beroperasi sejak Mei lalu dengan menyasarkan mangsa dari kalangan warga tempatan.
“Kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 28 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tegas beliau. -K! ONLINE