PETALING JAYA – Bekas pengurus usahawan kontroversi, Nur Sajat, Nurnilam Sari menegaskan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander susulan temu bualnya bersama usahawan tersebut di laman Facebook baru-baru yang didakwa berat sebelah.
Nurnilam Sari dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, Harith Iskander sebagai hos temu bual berkenaan tidak sepatutnya membenarkan orang yang bersalah bercakap berhubung kes penipuan yang telah diadili di mahkamah.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada Harith Iskandar kerana membenarkan orang bersalah bercakap mengenai kes penipuan yang telah diadili di mahkamah. Mencemarkan maruah dan reputasi.
“Bila seseorang menjatuhkan reputasi kita dengan membiarkan orang yang bersalah bersuara, serta cuba membuat fakta yang salah. Jadi, hati-hati Harith dengan temu bual anda secara siaran langsung,” katanya di sini.
Terdahulu, Sajat yang kini berada di Australia muncul dalam program What’s Going On Malaysia yang ditemu ramah Harith Iskander serta disiar secara langsung di Facebook dan YouTube selebriti itu.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan Sajat bakal tersenarai dalam kalangan individu muflis di negara ini selepas pemfailan pemiutang dilakukan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini.
Prosedur tersebut merupakan langkah terakhir bagi menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripada Sajat kepada Owa Resources yang merupakan bekas stokis utama bengkung usahawan terbabit. – K! ONLINE