SHAH ALAM – Perbuatan seorang bekas pelumba negara dalam Formula 4 menipu seorang lelaki berjumlah RM276,900 selama dua tahun bagi memperolehkan kad pengenalan kepada anak angkatnya warga Thailand mendapat balasan setimpal apabila didenda RM308,500 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Eric Louis Pragasam, 24, selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.
Jika gagal membayar, tertuduh diperintahkan dipenjara keseluruhan 87 bulan. Bagi 22 pertuduhan lain dihadapi tertuduh, mahkamah memutuskan dilepas dan dibebaskan setelah mengambil kira dalam menjatuhkan hukuman terhadap Eric di bawah seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Rozilah dalam penghakiman menegaskan agar tertuduh tidak mengambil mudah menipu orang dan mengambil iktibar terhadap hukuman dikenakan itu.
”Ini satu kesalahan serius dan saya tahu kamu sudah menyesal.
”Kamu pun masih muda serta berharap memperbaiki diri kamu itu. Saya doakan anda berjaya. ,” katanya.
Mengikut kesemua pertuduhan itu, Eric didakwa dengan curang menipu seorang lelaki berusia 66 tahun sebanyak RM276,900 dengan memperdayakannya boleh membantu untuk mendapatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi seorang individu.
Kesalahan itu dilakukan tiga cawangan bank di Kampung Cempaka, Seri Setia dan Kota Damansara bermula 3 November 2017 hingga 17 April 2019.
Justeru, dia dakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan bagi setiap pertuduhan tersebut.
Terdahulu dalam prosiding tersebut, Peguam Datuk Salehuddin Saidin mewakili tertuduh memberitahu, anak guamnya telah insaf dan semasa kejadian dia berusia 22 tahun dan tidak dapat berfikir panjang. -K!ONLINE