PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan terhadap seorang pemandu lori selepas didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di bawah asuhan isterinya tiga tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama dua lagi hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun yang menolak rayuan akhir Sulaiman Aswari, 44, selaku perayu.
Dalam penghakimannya, hakim Vazeer Alam berkata selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak dan meneliti segala keterangan dalam rekod rayuan, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan perayu.
“Setelah menimbang isu-isu yang ditimbulkan oleh peguam perayu, kami dapati bahawa saksi pendakwaan (SP) ketiga (iaitu mangsa) telah dinilai oleh hakim Mahkamah Sesyen dan beliau telah membuat kesimpulan bahawa SP3 adalah seorang saksi yang kompeten bagi maksud Seksyen 17 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
“Selain itu mahkamah juga mendapati proses penilaian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen terhadap SP3 adalah menurut kehendak undang-undang dan tiada kesilapan,” kata hakim itu.
Panel itu turut berkata mahkamah juga mendapati bahawa laporan perubatan oleh dua pakar perubatan iaitu SP4 serta SP5 merupakan sokongan kepada keterangan SP3 dan tiada sebab untuk mahkamah ini (Mahkamah Rayuan) mengusik dapatan fakta serentak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.
“Oleh yang demikian, kami dapati tiada merit dalam rayuan dan dengan itu rayuan perayu ditolak. Sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan dan hukuman bermula hari ini,” kata hakim itu.
Pada 3 April 2019, Sulaiman dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang. Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Januari 2020 kemudian turut menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen berkenaan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa di bawah jagaan pengasuh iaitu isteri kepada perayu bemula 2016 hingga 8 Mac 2018. Semasa dalam perjalanan balik ke kampung mangsa memberitahu ibu bapanya bahawa perayu yang dipanggil ayah itu telah melakukan amang seksual terhadapnya. -K!ONLINE